Pameran ketengahkan teknologi pertahanan, aset, keupayaan ketenteraan




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan





KUALA LUMPUR, Selasa, 21 April. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, telah mengetuai delegasi dari Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Pameran Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) Ke-19 dan National Security Asia 2026 (NATSEC Asia 2026) Ke-4, serta Forum Putrajaya Ke-8, yang berlangsung dari 20 hingga 23 April 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, Malaysia.


Turut menyertai delegasi tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Awang Mohd. Aizul Hakim bin Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi; Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Aldi bin Haji Hassan; Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Kolonel Pengiran Noor Rumaizi bin Pengiran Othman, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.


Defence Services Asia (DSA), yang dihoskan, disokong dan dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Defence Services Asia Exhibition and Conference Sdn Bhd, diiktiraf sebagai antara pameran pertahanan dan keselamatan dalam negeri terkemuka di Asia.


Pameran ini menampilkan teknologi termaju, sistem, aset ketenteraan dan keupayaan peperangan elektronik daripada pemain industri global terkemuka.


Pameran ini diadakan secara dwitahunan, dengan edisi terdahulu berlangsung pada tahun 2024.


Majlis perasmian pembukaan pameran telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Diadakan serentak dengan NATSEC Asia 2026, acara ini menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat dari 60 negara serta menarik sekitar 50,000 pengunjung perdagangan dari 114 negara, di samping kira-kira 500 delegasi rasmi mewakili 40 negara.


Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut menghadiri Forum Putrajaya Ke-8 yang diadakan bersempena DSA 2026 dan NATSEC Asia 2026, yang menampilkan Titah Ucaptama Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dengan tema 'ASEAN Security at the Edge of Emerging Technologies'.


Forum tersebut merupakan sebuah persidangan antarabangsa mengenai pertahanan dan keselamatan yang menghimpunkan penggubal dasar, agensi pertahanan dan keselamatan, badan pemikir serta ahli akademik bagi membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa.


Semasa pameran tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, di mana Yang Berhormat Pehin menzahirkan penghargaan atas kejayaan penganjuran DSA 2026 dan NATSEC Asia 2026.


Kedua-dua pihak turut menegaskan hubungan pertahanan yang telah lama terjalin, bertukar pandangan mengenai perkara dua hala dan isu strategik berkepentingan bersama, serta menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

 

Close